Tingkatkan Penguatkuasaan Tangani Kematian Gajah

147
Saddi Rahman, kanan, bersama Bolkiah Ismail, Limus Jury Dan Ghulamhaidar Khan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menyifatkan kematian gajah akibat racun sebagai satu fenomena baharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman berharap penguatkuasaan dapat dipertingkatkan agar insiden itu tidak menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, kematian gajah terbaharu di Ladang Kelapa Sawit Melangking, Sukau  itu perlu dipandang serius agar tidak berulang pada masa akan datang.

Katanya sebagai wakil rakyat Sukau, sekiranya ada berlaku kes kematian gajah, beliau akan sentiasa berada di hadapan dalam melaporkan insiden itu kepada jabatan dan pihak keselamatan berkaitan.

“Setiap kali ada kematian gajah, kita jadi sasaran dan rakyat menjadi keliru untuk mengetahui siapa yang memburu dan meracun hidupan liar berkenaan.

“Atas sebab itu, saya meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya turut memainkan peranan untuk melaporkan kes-kes pemburuan haram atau termakan racun ini kepada saya dan jabatan berkaitan,” katanya ketika ditanya tentang kes tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurutnya, beliau juga menyokong usaha kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam memelihara hidupan air di Sabah.

Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam kes-kes berkaitan pemburuan haram yang menyebabkan kematian gajah yang berlaku di kawasan Sukau.

Tambahnya, pembangunan dan pembukaan ladang menyebabkan laluan gajah agak terhad.

“Jika pengusaha ladang ingin menggunakan racun dalam tanaman sawit mereka, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati agar sekiranya kawasan ladang itu merupakan laluan gajah, ia tidak akan memudaratkan hidupan liar berkenaan.

“Mereka perlu berhati-hati dalam menabur racun tanaman, sekiranya ia laluan gajah, perlu letakkan halangan dan pastikan baja kimia yang digunakan ditabur mengikut jadual bagi mengelakkan gajah termakan tanaman yang diracun,” jelasnya.

Sabtu lalu, seekor bangkai gajah ditemukan mati oleh pekerja ladang di Ladang Kelapa Sawit Melangking, Sukau dipercayai akibat keracunan toksemia hingga mengakibatkan organ dalaman gajah tersekat dan gagal berfungsi.

Gajah yang dikenali sebagai Girang itu dipercayai mati pada 14 November lalu dan hasil bedah siasat mendapati berlaku sekatan pada jantung, paru-paru dan buah pinggang haiwan itu.