Tingkat Pembabitan ADUN Wanita Melalui TWOAS – Jannie

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang menyarankan kerajaan supaya terus memperkasakan pembabitan wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini hanya ada tujuh ADUN wanita di Sabah daripada keseluruhan 73 ADUN yang ada.

Ini menunjukkan, di Sabah masih belum mencapai sasaran nasional dan antarabangsa untuk mempunyai 30 peratus wanita di semua peringkat kerajaan.

“Usaha mesti dilakukan secepat mungkin untuk mencapainya. Minimum 30 peratus wanita harus dipertahankan berdasarkan kenyataan bahawa pemimpin wanita juga mampu memacu pembangunan dan kemajuan negara.

“Saya menyokong penuh kepada inisiatif ‘Top-up Women-only Additional Seats (TWOAS)’ kerajaan Pulau Pinang. Ini adalah langkah yang signifikan dan langkah yang sangat diperlukan untuk meningkatkan perwakilan wanita di DUN dengan 30 peratus.

“Inisiatif TWOAS dirancang untuk memastikan minimum 30 peratus perwakilan wanita di DUN Pulau Pinang.

“Ini adalah langkah khas yang hanya berlaku apabila jumlah wanita terpilih di DUN turun di bawah peratus. Penyusunan ini dibenarkan di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan DUN mewujudkan wakil DUN yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Wanita DAP Sabah ini berkata, inisiatif TWOAS ini dilihat tidak mengganggu sistem sedia ada dan tidak memerlukan pilihan raya yang berasingan.

Katanya, penyusunan ini melibatkan perkongsian awal senarai calon wanita TWOAS dengan urutan keutamaan yang tetap dari semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya. Dengan adanya senarai tersebut, ia akan memastikan ketelusan dalam proses pelantikan.

Menurutnya, kerusi TWOAS akan diperuntukkan kepada semua parti (termasuk parti pembangkang) yang telah menyerahkan senarai calon mereka, sesuai dengan peratusan suara yang diterima oleh parti dalam pilihan raya negeri.

“TWOAS akan memberi setiap parti politik insentif untuk menghasilkan senarai calon wanita yang sebaliknya mereka mungkin tidak akan buat.

“Kumpulan Daya-Tindakan Wanita Sabah (SAWO) juga meminta kerajaan Sabah untuk menerapkan sistem ini, dan mencadangkan agar ADUN lantikan Sabah yang ada sekarang digunakan untuk TWOAS,” ujarnya.

Jannie berkata, usaha meningkatkan perwakilan wanita dalam DUN adalah penting kerana penerimaan keupayaan kepemimpinan politik wanita yang sudah lama tertangguh dalam politik.

Penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan adalah penting untuk pembangunan dan kemajuan negara.

Maka, kerajaan juga harus melindungi dan mempromosikan hak sesama wanita dan lelaki untuk terlibat dalam kegiatan politik dan mendorong meningkatkan penglibatan wanita orang asal dalam pembuatan keputusan di semua peringkat.

Dengan mengembangkan strategi untuk tujuan melibatkan wanita, penyertaan anggota parti dalam pengambilan keputusan secara lebih formal, seperti melalui pemilihan untuk jawatan kepimpinan atau pengambilan calon dalam pilihan raya akan datang.