Tingkat Kerjasama Cegah Wabak African Swine Fever Masuk Ke Sabah

183
Sim (kiri) memerhatikan proses pemeriksaan bagasi penumpang yang disyaki membawa barangan tidak dibenarkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dalam memastikan kesedaran dan biosekuriti di semua pintu masuk utama dan ladang ternakan khinzir di Sabah dipertingkatkan.

Ia bagi mengelakkan produk makanan berasaskan khinzir yang dijangkiti African Swine Fever (ASF) dari luar negara dibawa masuk ke Malaysia dan juga Sabah.

SIM TZE TZIN

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, sehingga kini hampir tiga tan daging dan produk berasaskan khinzir berjaya dirampas ketika cuba dibawa masuk melalui pintu-pintu masuk utama negara. Daripada jumlah itu, 1.16 tan daging dan produk khinzir ditahan di pintu masuk utama di Sabah.

“Melihat kepada jumlah itu, kita mendapati orang ramai masih membawa masuk produk makanan ke Malaysia.

“Atas sebab itu, kerajaan berkali-kali mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak membawa masuk produk makanan dari luar negara kerana dikhuatiri ianya dijangkiti virus yang akan menjejaskan industri ternakan.

“Untuk mengelakkan industri dan peladang khinzir mengalami kerugian akibat jangkitan virus seperti ASF, kita perlu meningkatkan pemeriksaan keselamatan di sempadan dan pintu-pintu masuk utama negara, termasuklah di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pemeriksaan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini pada Ahad.

Sim berkata, buat masa ini, kerajaan telah bertindak mengeluarkan surat larangan pengimportan khinzir serta produk berasaskan khinzir dari enam negara yang dijangkiti ASF. Ia termasuklah China, Poland, Belgium,Thailand dan Vietnam.

Negara yang dilaporkan dijangkiti wabak ASF di Asia termasuklah China, Mongolia, Vietnam, Cambodia, Korea Utara dan Laos.

Katanya, memandangkan Malaysia tidak banyak mengimport khinzir dari luar negara disebabkan tahap sara diri yang hampir 93 peratus di Semenanjung Malaysia dan 100 peratus di Sabah, harga daging dan produk khinzir masih stabil dan tidak meningkat biarpun ada negara yang dijangkiti ASF.

Pemeriksaan barangan penumpang yang disyaki membawa masuk produk makanan dari luar negara dilakukan oleh pegawai bertugas, sambil disaksikan oleh Sim (tiga kiri).

“Nilai industri khinzir di Semenanjung Malaysia ketika ini adalah sebanyak RM 3.6 bilion dengan pengeluaran daging khinzir mencecah 213,000 metrik tan.

“Penggunaan daging khinzir pula adalah sebanyak 252,000 metrik tan. Jumlah daging yang diimport pula adalah sebanyak 11,000 metrik tan.

“Untuk Sabah, pengeluaran daging khinzir adalah sebanyak 8,642 metrik tan dengan nilai RM198.76 juta pada tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, virus ASF bagaimanapun tidak bersifat zoonotic yang akan berpindah kepada manusia. Penyakit haiwan ini tidak akan menjangkiti manusia biarpun manusia memakan daging khinzir yang dijangkiti ASF.

Walau bagaimanapun, penyebaran wabak itu akan memberi kerugian besar terhadap industri ternakan khinzir.

Di Sabah terdapat 44 ladang ternakan khinzir dengan populasi sebanyak 88,795 ekor. Jadi, sekiranya wabak ASF tersebar di Sabah, industri ternakan khinzir akan mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM220 juta.

Wabak ASF adalah penyakit haiwan yang menyebabkan kematian hampir 100 peratus khinzir dan khinzir gila.

Sejak ia merebak di China, sebanyak 1.16 juta ekor khinzir telah dimusnahkan bagi mengelakkan ia terus berjangkit. Di Vietnam pula, 3 juta ekor khinzir dimusnahkan.