Tindakan Tegas Terhadap Pihak Lakukan Pengeboman Ikan, Christina

CHRISTINA LIEW

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan hingga meragut tiga nyawa penyelam termasuk dua pelancong China dan seorang jurulatih selaman di Pulau Kalapuan Semporna, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, tindakan tegas itu termasuk denda dan hukuman penjara yang lebih berat.

Katanya, berita kematian tiga penyelam yang dipercayai akibat terkena bom ikan itu begitu menyedihkan.

“Amat menyedihkan apabila ada nyawa terkorban akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menjalankan aktiviti pengeboman ikan secara haram.

“Dengan itu, saya menyeru pihak berkaitan termasuk pegawai jabatan dan agensi dibawah kementerian saya supaya lebih tegas dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang.

“Saya percaya insiden sebegini boleh dielakkan jika aktiviti pengeboman ikan secara haram ditangani sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Christina berkata, pihak kementerian akan memantau kes ini secara dekat. Disamping itu, kerajaan akan memberi bantuan diperlukan oleh Konsulat Jeneral Republik China di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dalam menyelesaikan kes berkenaan.