Tindakan Tegas Terhadap Pembunuhan Kejam Penyu Hijau Perlu Diambil – Jaujan

KOTA KINABALU: Tindakan tidak berperikemanusiaan pihak yang terlibat dalam pembunuhan penyu hijau di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna perlu ditangani secara serius.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap sesiapa juga yang terlibat dalam pembunuhan khazanah alam di bumi Sabah itu.

Beliau berkata, jika pembunuhan kejam sebegitu tidak ditangani secara tegas, dikhuatiri kejadian sama akan berulang pada masa hadapan.

Oleh itu, beliau menggesa semua pemimpin di peringkat akar umbi termasuk ketua kampung agar memainkan peranan dan melaporkan sekiranya ada kejadian sebegini berlaku di persekitaran mereka.

Katanya, jika hidupan marin ini terus menjadi mangsa kekejaman manusia, dikhuatiri ia akan menjejaskan ekosistem marin di perairan Semporna yang merupakan tarikan pelancongan utama di negeri ini.

Usaha mendidik masyarakat perlu dipertingkatkan agar tidak melakukan kekejaman dan membunuh hidupan marin yang merupakan spesis haiwan dilindungi di bawah Enakmen Hidupan Liar 1997.

Jaujan turut memuji usaha berterusan Tabung Alam Sedunia (WWF) dalam membantu memulihara hidupan marin di Sabah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penemuan 11 bangkai penyu hijau yang dibunuh dengan kejam yang ditemukan di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna kelmarin.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semua bangkai berkenaan ditemui sekitar 6 pagi dalam operasi Op Bersepadu Khazanah, bersama Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan.

Katanya, sebaik semua bangkai berkenaan ditemui, pasukan operasi turut menemukan karung mengandungi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak.