Tindakan Pantas Pemilik Selamatkan Kedai Daripada Terbakar

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Tindakan pantas pemilik sebuah restoran berjaya menyelamatkan premisnya daripada musnah dalam kebakaran di Jalan Sinsuron berhampiran Pasar Sin On, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa bersama beberapa individu lain bertindak pantas dengan mengambil pemadam api bagi mengelakkannya merebak ke premis bersebelahan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Pegawai Bomba Kanan II Akipoldo Timbang menerusi kenyataan medianya mengesahkan perkara tersebut.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.17 pagi tadi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di sana, anggota bertugas mendapati api berjaya dipadamkan orang ramai menggunakan alat pemadam api.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut tetap diteruskan bomba bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dan operasi tamat pada jam 11.57 pagi.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian mangsa,” katanya