Tindakan Jaffari Rosakkan Parti

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Libaran, Jaffari Waliam keluar parti adalah satu pengkhianatan dan merosakkan parti.

Timbalan Ketua Cabang PKR Libaran, Surian Sah Hanafiah berkata, tindakan itu adalah tidak relevan ketika kemelut politik negara belum berakhir.

Jelasnya lagi, sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketua-ketua ranting serta ahli PKR Cabang Libaran bukan sahaja masih kukuh, malah sentiasa menyokong kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita masih berada di landasan betul biarpun berlaku pergolakan politik yang memungkinkan berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi Kerajaan Pusat.

“Saya menolak unsur-unsur yang merosakkan kestabilan parti yang dilakukan oleh seorang pemimpin pada peringkat cabang kerana ia merupakan satu tindakan pengkhianatan terhadap presiden parti,” katanya.

Kemelut politik negara bermula pada 23 Februari lalu selepas beberapa ahli parlimen daripada parti kerajaan (PH) dan pembangkang berhimpun di sebuah hotel di Petaling Jaya yang dilihat sebagai cubaan membentuk kerajaan campuran yang baharu dengan parti-parti komponen berlainan.

Sehari selepas itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong.

PKR pula memecat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sebelum Azmin dan Zuraida dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam parti.