Tindakan Blogger Cuba Lagakan Hubungan Kerajaan Dengan Polis Dipersoal

264
Gambar hiasan saja

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mempersoalkan tindakan segelintir pihak terutama blogger tertentu yang seolah-olah mempunyai cubaan terancang mengganggu gugat kestabilan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, aktiviti mencurigakan itu heboh beberapa hari ini apabila seorang blogger cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pasukan polis sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial termasuk kenyataan mengelirukan ahli politik.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri tidak pernah menghalang polis Cawangan Khas (SB) daripada menghadiri acara umum dihadiri Ketua Menteri termasuk sidang akhbar di tempat awam.

HAMID BADOR

“Tiada polisi seperti itu atau arahan daripada Ketua Menteri, tiada juga polisi daripada kerajaan menghalang sesiapa daripada menghadiri sidang akhbar, lebih-lebih lagi apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar adalah maklumat umum.

“Sehubungan itu, agak jelas cubaan blogger berkenaan menimbulkan isu menghalang SB itu adalah provokasi atau cuba menimbulkan ketegangan hubungan kerajaan dengan polis,” jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, sebuah portal berita telah melaporkan khabar angin oleh blogger berkenaan yang diketahui mempunyai agenda peribadi.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengaku terkejut mendengar aduan yang mengatakan Warisan menghalang SB daripada menghadiri sidang akhbar yang diadakan parti itu di Sabah.

Beliau berkata, pihak polis akan terus menghantar SB ke mana-mana program awam sebagai langkah keselamatan kecuali jika program yang dianjurkan tetutup.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas portal berita melaporkan bahawa pemimpin kanan Warisan mengesahkan parti itu telah memutuskan untuk menghalang polis SB daripada menghadiri sidang media mereka.