Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Berdepan 46 Pertuduhan Rasuah

KOTA KINABALU: Seorang Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan rasuah bagi meluluskan Sijil Taraf Bumiputera di Mahkamah Khas Rasuah hari ini

Tertuduh, Mahriyatty Ag. Bahrin, 42, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu dihadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Untuk itu, tertuduh dilepaskan dengan jaminan wang berjumlah RM25,000 dan deposit RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan.

Tertuduh yang juga Jurutera Awam di Pejabat Pusat Khidmat Kontraktor cawangan Sabah didakwa menerima wang suapan yang berjumlah lebih RM50,000 bagi tujuan meluluskan Sijil Taraf Bumiputera beberapa syarikat kontraktor antara 28 Julai hingga 5 November 2020.

Kesemua wang suapan yang diterima melalui pemindahan wang secara elektronik menerusi akaun peribadi Maybank milik tertuduh sebagai balasan untuk mempercepat kelulusan sijil berkenaan melalui sistem Centralised Information Management System (CIMS).

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B), Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 17 (a), tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima rasuah bagi mengeluarkan sijil CIDB dan sijil-sijil kontraktor bagi sebuah syarikat kontraktor.

Tertuduh, Syarafi Syahir Kasah,31, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300 antara 24 Julai hingga 10 November 2020 bagi mengeluarkan Sijil CIDB dan sijil-sijil kontraktor yang berkaitan.

Justeru, mahkamah melepaskan tertuduh dengan jaminan wang berjumlah RM5,000 dan deposit RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Kedua-dua tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan diarah melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee.