Timbalan Pengarah Hospital Di Sabah Antara 80 Petugas Kesihatan Positif Covid-19

Oleh AZIS KHAN
TAWAU: Timbalan Pengarah sebuah hospital di Sabah antara 80 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disahkan positif Covid-19.

Timbalan Pengarah hospital berkenaan mengesahkan dirinya positif Covid-19 ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, beliau disahkan positif Covid-19 semalam dan kini menjalani rawatan di hospital yang sama.

Berikutan itu, pejabat timbalan pengarah hospital berkenaan ditutup hari ini bagi tujuan pembasmian kuman.

Menurut sumber, susulan daripada itu, Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah berkenaan turut diarahkan dikuarantin selama 14 hari bermula hari ini kerana difahamkan merupakan kontak rapat kepada timbalan pengarah tersebut.

Menerusi CPRC KKM, dua petugas hospital di Sabah iaitu masing-masing di Ranau dan Tawau disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata,  sehingga pagi tadi, 80 petugas kesihatan KKM disahkan positif Covid-19.

Katanya, berdasarkan siasatan punca jangkitan semua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian pesakit di fasiliti kesihatan KKM.

Bagaimanapun, semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan terutama dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan ditetapkan.