Tiga Sektor Dikenalpasti Bangunkan Infrastruktur Digital Di Sabah

YUSOF YACOB

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur digital dalam tiga sektor utama bagi memastikan negeri ini bersedia berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0).

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada kawasan-kawasan perindustrian, pelancongan dan pendidikan agar ketiga-tiga sektor yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini dapat dibangunkan secara lebih efektif.

Beliau berkata, selaku kementerian yang diberi tanggungjawab mengendalikan pembangunan infrastruktur digital di Sabah, mereka menetapkan fokus kepada tiga sektor ini terlebih dahulu.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), kawasan perindustrian di Sandakan, Lahad Datu, Sipitang dan pelabuhan di Kudat.

“Untuk kawasan pelancongan pula, kita akan memastikan infrastruktur digital di sekitar pulau-pulau di Semporna, Gunung Kinabalu, Kawasan Konservasi Maliau Basin sehingga Long Pasia dipertingkatkan agar masyarakat setempat memperoleh manfaat melalui pembangunan digital itu,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi Delegasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Yusof berkata, pembangunan infrastruktur digital dalam sektor pendidikan juga akan turut dilaksanakan.

Katanya, kerajaan akan memastikan hab-pendidikan dari kawasan Papar hingga Beaufort dilengkapi dengan infrastruktur digital yang baik.

Menurutnya, untuk menjayakan pembangunan digital itu, beliau akan memastikan tidak ada lompang yang boleh menghalang segala perancangan itu.

Beliau berkata, jika segala masalah berkaitan dapat diselesaikan, Sabah mampu bersedia untuk berdepan dengan perkembangan RI4.0 serta perkembangan teknologi 5G yang kini diberi perhatian oleh masyarakat dan pelabur antarabangsa.

Turut hadir dalam kunjungan hormati itu adalah Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak, Ketua Pegawai Sektor Pematuhan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin serta Pengarah SKMM Sabah & Labuan Roslan Mohamad.