Tiga Sekeluarga Warga AS Ditahan Imigresen Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Tiga warga Amerika Syarikat (AS) terdiri daripada seorang lelaki dan dua anaknya ditahan pihak berkuasa selepas didakwa gagal melaporkan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sini, semalam.

Difahamkan, tiga beranak itu ditahan di Lapangan Terbang Tawau dipercayai ketika hendak menaiki penerbangan ke lokasi lain.

Menurut sumber, suspek dikatakan tiba di Kota Kinabalu menaiki pengangkutan udara sebelum masuk ke Indonesia menggunakan jalan laut.

Mereka kemudiannya datang semula ke Sabah menerusi Tawau yang juga menggunakan jalan laut sebelum meneruskan perjalanan mereka menggunakan kapal terbang.

Mereka kemudiannya ditahan, semalam, selepas didapati tiada cop keluar masuk JIM pada dokumen perjalanan mereka ketika berada di Sabah sebelum itu.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan JIM Sabah berhubung penahanan terbaharu tiga pelancong itu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew ketika dihubungi, pihaknya menerusi Lembaga Pelancongan Sabah sedang menyiasat perkara tersebut.

“Sebarang perkembangan dan maklumat berkaitan akan dimaklumkan,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kes ketiga dalam tempoh dua bulan membabitkan kegagalan pelancong asing melaporkan diri ke kaunter JIM di Sabah.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara 18 hari ke atas empat pelancong wanita warga China selepas didapati bersalah gagal melaporkan diri di kaunter imigresen ketika tiba di Kota Kinabalu sebelum ke Tawau.

Kemudian, tiga warga Hong Kong terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita bertindak melapor diri ke Pejabat JIM Tawau selepas menyedari mereka tidak melalui pemeriksaan imigresen ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum ke Tawau, Isnin lalu.