Tiga Sekeluarga Hilang Ketika Cari Lokan Ditemukan Selamat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Demi kelangsungan hidup, tiga sekeluarga sanggup melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencari lokan sebelum mereka dilaporkan hilang pada 8.40 malam, semalam.

Bagaimanapun, kesemua mereka bersama tiga rakan lain berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat, di sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan tiga sekeluarga termasuk pasangan suami isteri itu antara enam mangsa yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Tiga mangsa pertama berjaya keluar sendiri dari kawasan hutan bakau pada 9.23 pagi dan telah dijumpai oleh orang awam.

Pasukan bomba seterusnya mendapatkan maklumat daripada mangsa untuk menjejaki tiga lagi rakan mereka.

Tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang itu ditemukan pada 9.29 pagi pada jarak 200 meter daripada tempat mangsa pertama dijumpai.

Kesemua mereka dibawa keluar dari hutan bakau dalam keadaan selamat.

Mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dikenali sebagai Mohd Firdaus Emrran,32, dan Siti Rosidah Siangho,24, serta bapanya Siangho Pitat,60.

Tiga mangsa lain adalah Mohd Zairi Binun, 20; Mohd Hamidun, 16, dan Malik, 30.

Kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya.

PGO bomba menerima panggilan kecemasan mengenai enam individu dari Kampung Bukit Payung, Tuaran yang dilaporkan hilang itu pada 8.40 malam, semalam.

Kesemua mangsa dikatakan tidak balik ke rumah sejak 8 malam selepas menjalankan aktiviti mencari lokan di kawasan hutan bakau.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan semalam dan ditangguhkan pada 10.54 malam.

Operasi SAR diketuai Penguasa Kanan Bomba Mohd Abd Qawie Abdul Gapar bersama 20 orang anggota. Agensi lain yang turut terlibat adalah polis, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam.