Tiga Pusat Kuarantin Di Pusat Bandaraya Diisi Sepenuhnya – SKN Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tiga institusi kerajaan dan sebuah hotel yang dijadikan Pusat Kuarantin di daerah ini telah dibuka bagi menempatkan pesakit dibawah pemantauan (PUS).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, tiga institusi itu adalah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bukit Padang; Akademi Bomba Sepanggar Kota Kinabalu; dan Politeknik Kota Kinabalu.

Buat masa ini, dua daripada tiga institusi berkenaan telah diisi sepenuhnya.

Ketiga-tiga pusat kuarantin itu menyediakan 142 unit bilik bagi menempatkan pesakit PUS. Manakala, di Monaco Boutique Hotel, Sadong Jaya yang menempatkan 40 bilik juga telah diisi sepenuhnya.

Kesemua pusat kuarantin di institusi kerajaan itu menyediakan perkhidmatan seperti:-

(i) Pemeriksaan status kesihatan setiap hari mulai jam 9 pagi oleh paramedik. Seorang pegawai perubatan telah dikhaskan untuk menjaga pusat ini.

(ii) Perkhidmatan perubatan kepada penghuni yang mempunyai masalah kesihatan yang acute atau chronic seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

(iii) Perkhidmatan sokongan psikososial di mana pegawai kaunseling akan membuat panggilan kepada setiap penghuni.

(iv) Makanan disediakan: sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

(v) Semua perbelanjaan adalah dibiayai oleh Kerajaan.

Sementara perkhidmatan yang disediakan di Hotel Monaco menyediakan perkhidmatan pemeriksaan status kesihatan, perkhidmatan sokongan psikososial dan perkhidmatan perubatan mengikut jadual. Makanan turut disediakan oleh pihak hotel.

Katanya, pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) adalah dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan kawalan pergerakan penghuni PUS dan keluarga PUS supaya tidak keluar atau masuk ke hotel sepanjang tempoh kuarantin.

Safar berkata, dua lagi hotel yang diumumkan sebagai pusat kuarantin iaitu di Ming Garden Hotel & Residences dan Pan Borneo Hotel, Putatan belum mula beroperasi sebagai pusat kuarantin.

Katanya, pembukaan pusat-pusat kuarantin yang lain akan ditentukan oleh KKM dari semasa ke semasa.