Tiga Penjawat Awam Ditahan Angkut PATI Merentas Daerah

TAWAU: Taktik tiga penjawat awam membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki kenderaan jabatan bagi melepasi sekatan jalan raya di Jalan Kunak-Tawau berjaya dihidu pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam pada 14 Julai itu, dua kenderaan pacuan empat roda dengan lambang sebuah agensi kerajaan digunakan bagi membawa 15 orang PATI berusia antara 39 hingga 49 tahun.

Namun, cubaan mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya apabila pemandu kenderaan agensi kerajaan itu ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas, Tawau kerana dipandu terlalu laju.

Bagaimanapun semasa ditahan, hanya tiga orang suspek berada dalam kenderaan manakala, kesemua 15 orang PATI sudah melarikan diri.

Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan lanjut dan siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku membawa 15 penumpang dipercayai PATI dari Lahad Datu menuju ke Tawau.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tiga individu berkenaan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Pada Isnin, kejadian itu tular dalam media sosial hingga menimbulkan pelbagai persoalan kepada netizen yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat yang didakwa mencemarkan imej penjawat awam.