Tiga Pendaki Tersesat Diselamatkan

KOTA BELUD: Tiga pendaki berhadapan detik cemas apabila tersesat semasa melakukan aktiviti pendakian di Bukit Bongol, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 10.50 pagi itu, tiga pendaki terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki tersesat semasa mendaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba berjalan kaki mendaki bukit sejauh 500 meter untuk tiba di lokasi mangsa.

“Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan diiringi turun dari bukit oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang.