Tiga Pendaki Gunung Kinabalu Diselamatkan MOSAR

RANAU: Tiga pendaki Gunung Kinabalu yang mengalami kecederaan terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR),
malim gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah di kilometer 3, di sini, semalam.

Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 18 tahun dan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun yang dilaporkan sukar bergerak dan perlu dibantu untuk turun ke kaki gunung akibat kekejangan otot dan kecederaan di kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridhwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.36 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota MOSAR, malim gunung serta Renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, ketiga-tiga mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR, malim gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan kaedah ‘piggyback carry’ dan pengusung Robinson Stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Semua mangsa dihantar pasukan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang.