Tiga Pelajar SM Sains Labuan Cedera Terkena Merkuri

980
Anggota Hazmat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan di SM Sains Labuan Khamis.
Anggota Hazmat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan di SM Sains Labuan Khamis.

LABUAN – Tiga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sains Labuan tercedera dipercayai terkena cecair merkuri daripada alat termometer yang pecah semasa melakukan eksperimen sains di makmal sekolah pagi Khamis.

Pelajar yang cedera kira-kira 7.50 pagi itu dikenali sebagai Cherliz Toecey Yahya yang cedera di mata, Irdin Aisyah Sarakawi yang cedera di tangan dan Jillyanatanya yang mengalami rasa gatal pada tangan.

Mereka dihantar untuk rawatan ke Hospital Nukleus Labuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menghantar 25 anggota ke sekolah tersebut sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.57 pagi.

“Kira-kira 20 pelajar lelaki dan perempuan beserta seorang guru dan pembantu makmal berada di makmal tersebut ketika kejadian. Kita mendapati sebuah alat termometer berada di atas lantai dalam keadaan berkecai,” katanya.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata kejadian itu adalah tidak disengajakan.

Setelah berlaku tumpahan merkuri di Sekolah Menengah Sains Labuan pagi tadi, turut dilapor berlaku kejadian seumpama itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako di sini tengah hari Khamis.

Di sini ia turut melibatkan pelajar Tingkatan Satu yang terdiri daripada tiga pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata kejadian dilapor berlaku apabila bahan cecair tersebut tumpah ke atas lantai bilik makamal semasa para pelajar membuat uji kaji.

Beliau berkata pihak bomba melakukan kerja-kerja nyahcemar ke atas para pelajar berkenaan serta membersihkan kawasan yang telah ditumpahi.