Tiga PATI Ditahan Di Perairan Menampilik

23

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
SEMPORNA: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri di kawasan perairan Menampilik, Semporna, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim V Siva Kumar berkata, kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin dan pemantauan telah mengesan sebuah bot fiber berwarna putih tidak bernombor pendaftaran sedang terapung berhampiran Pulau Menampilik.

Menurut Siva, bot fiber terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan pada  pukul 1.00 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot fiber tersebut dinaiki oleh tiga orang disyaki warga asing gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, juragan bot fiber itu juga gagal mengemukakan lesen bot yang sah. Nilai rampasan terhadap bot fiber berkenaan dianggarkan bernilai lebih kurang RM5,500,” katanya.

Mengulas lanjut, Siva berkata, Maritim Malaysia menahan ketiga-tiga suspek termasuklah bot, enjin dan peralatan menangkap ikan mereka atas kesalahan Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

“Pihak Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus komited memastikan perairan Sabah khususnya perairan Semporna selamat, aman dan terkawal.

“Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Semporna boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.