Tiga Lelaki Menyamar Pegawai Kesihatan Sebelum Merompak

96

Oleh ARDYHANSAH AMAT
Tawau: Seorang wanita kerugian sebanyak RM1,000 selepas disamun tiga penjenayah yang menyamar sebagai pegawai kesihatan, di Batu 6, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa yang bersendirian di rumah didatangi tiga lelaki berpakaian seragam berwarna biru dan mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kesihatan Tawau.

Difahamkan, suspek memaklumkan mangsa bahawa mereka perlu melakukan pemeriksaan jentik-jentik di dalam rumah.

Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang muslihat bertindak membenarkan ketiga-tiga lelaki berkenaan masuk.

Sebaik berjaya masuk, suspek kemudiannya bertindak menggeledah rumah tersebut selain mengugut mangsa untuk tidak melawan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian itu adalah yang kedua dilaporkan membabitkan penyamaran sebagai penjawat awam dan melakukan jenayah di rumah mangsa.

“Suspek hanya melarikan barang berharga, manakala mangsa tidak dicederakab.

“Kami kini sedang mengesan suspek yang dianggarkan berumur antara 20-an hingga 30-an termasuk menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut,” katanya.

Peter berkata, berdasarkan dua kejadian ini, modus operandi penjenayah cukup jelas, iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan memaklumkan perlu melakukan pemeriksaan di dalam rumah mangsa.

“Saya mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang datang ke rumah untuk menawarkan sebarang perkhidmatan atau pemeriksaan.

“Orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Tawau atau jabatan berkaitan bagi tujuan pengesahan aktiviti pemeriksaan yang dilakukan,” katanya.