Tiga Lelaki Ditahan, Syabu Dirampas

Tiga lelaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di tahan di Papar.

Oleh NORA AHMAD
PAPAR: Tiga lelaki tempatan ditahan dan 5.34 gram dadah jenis syabu berjaya dirampas dalam satu serbuan berasingan di daerah ini, semalam.

Tiga lelaki berusia 30-an itu ditahan antara pukul 11 pagi hingga 12.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Tangkapan ketiga-tiga suspek dibuat di sekitar kawasan Papar dan hasil saringan awal mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine.

“Pemeriksaan lanjut pada dua suspek juga didapati memiliki syabu dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 5.34 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman mengikut kesalahan masing-masing iaitu dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya lagi, tangkapan itu adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah disamping bagi memastikan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi penduduk setempat.

“Oleh itu, orang ramai diminta terus memaklumkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.