Tiga Lagi Kes Kolera Dikesan di Semporna, Kota Kinabalu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Wabak kolera di Sabah meningkat kepada 35 kes dengan tiga kes baharu dilaporkan di Semporna dan Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan semalam berkata, daripada jumlah itu, lima kes tidak menunjukkan sebarang gejala seperti cirit-birit, muntah dan hilang selera makan.

Beliau berkata, wabak kolera kini merebak kepada tujuh daerah di Sabah iaitu Semporna (13), Kota Kinabalu (11), Beaufort (4), Putatan (3), Kinabatangan (2) serta masing-masing satu di Tuaran dan Sipitang.

Katanya, setakat ini lima kes yang tidak bergejala itu dikesan di Semporna (4) dan Kinabatangan (1).

Tambahnya, antara faktor risiko yang dikenal pasti menyebabkan berlakunya jangkitan ini adalah disebabkan tabiat memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna mahupun tidak mencuci peralatan makanan menggunakan air dirawat.

“Gejala kolera adalah cirit-birit yang boleh mengakibatkan badan kehilangan cecair dan sekiranya tidak dirawat boleh mengakibatkan kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.

“Penyakit ini boleh merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih, tiada kemudahan tandas yang sempurna dan persekitaran yang tidak bersih,” ujarnya.