Tiga Kes Samun Berjaya Diselesaikan Dalam Tempoh 24 Jam

KOTA KINABALU: Sebanyak tiga kes samun yang berlaku antara 14 hingga 16 Januari lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, seramai enam suspek lelaki dan seorang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan ketiga-tiga kes yang berlaku di kawasan berasingan.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan mangsa wanita yang disamun seorang lelaki pada 14 Januari lalu, sekitar jam 10.20 malam di parkir kenderaan di sebuah apartment dan kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM 18,000.

Susulan itu, dua tangkapan membabitkan dua lelaki berusia antara 21 dan 42 tahun telah dilakukan pada 15 dan 19 Januari.

Sementara itu, kes kedua membabitkan seorang pemandu e-hailing yang disamun dua lelaki di kawasan Manggatal, kira-kira jam 2.08 pagi pada 15 Januari lalu.

Dalam kejadan itu, salah seorang suspek telah merampas beg silang serta dompet milik mangsa dan mengambil wang tunai sebanyak RM70.

Dua orang suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berjaya ditangkap pada hari yang sama.

Untuk kes ketiga, seorang pelajar perempuan telah disamun di kawasan Sulaman Sentral kira-kira jam 8 malam, pada 15 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, berlaku bergelutan dan mangsa yang diseret ketika kejadian mengalami cedera ringan.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan tiga suspek lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun di Tuaran dan merampas sebuah telifon bimbit milik mangsa.

Turut dirampas sebuah kereta yang digunakan oleh suspek dalam kes samun ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang telah membantu menyalurkan maklumat sehingga pihak polis berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes samun ini dalam tempoh 24 jam.