Tiga Kawasan Di Tawau, Sabah Dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR: Tiga kawasan di Tawau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 14 April, berikutan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terlibat ialah Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung;  Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung.

“Sehingga semalam Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan lapan kes positif hasil 59 ujian saringan yang dilakukan di Kampung Ranggu Batu 10, manakala di Fasa 2 Taman Semarak pula seramai enam individu didapati positif hasil 16 ujian saringan, sembilan lagi sampel saringan masih menunggu keputusan.

“Di Kampung Baru Pasir Putih pula, sebanyak lapan kes positif dikesan hasil 89 ujian saringan, 75 lagi sampel masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Menurutnya pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu PKPD di Kilang YTY dan asrama pekerja, di Lekir, Sitiawan, Perak yang sepatutnya ditamatkan esok, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 15 April depan, berikutan KKM mengesan masih berlaku penularan jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan penghuni asrama.

Ismail Sabri berkata kes terakhir dilaporkan adalah pada 28 Mac lalu, iaitu sebanyak tujuh kes.

Sehingga kini, katanya KKM telah melaksanakan 1,174 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 109 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Selain itu, PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat pada Jumaat ini turut dilanjutkan dari 3 April hingga 16 April, setelah berlaku peningkatan kes baharu di kawasan itu.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 1,277 ujian saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 63 kes positif COVID-19 dikesan dan 101 baki sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

Berkenaan Op Benteng pula, Ismail Sabri berkata semalam seramai 19 pendatang tanpa izin ditahan dan dua pendatang tanpa izin turut diusir dari negara ini.