Tiga Kaki Kanak-kanak Digongong Anjing Ditemukan Di Sepanggar

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Orang awam yang berada di Pelabuhan Sepanggar gempar dengan penemuan tiga pergelangan kaki manusia di belakang sebuah bengkel lori petang semalam.

Kesemua pergelangan kaki dipercayai milik kanak berumur dua atau tiga tahun itu ditemukan pada pukul 6 petang selepas digonggong beberapa ekor anjing.

HABIBI MAJINJI

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, selepas menerima maklumat berhubung penemuan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga tapak kaki itu adalah tapak kaki manusia disyaki kaki kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun.

“Tiada kesan kena potong dan hanyalah kesan gigitan yang dipercayai gigitan binatang,” katanya seperti dilaporkan.

Habibi berkata, pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penemuan tapak kaki itu, tidak menemukan sebarang badan atau fizikal lain.

“Siasatan masih dijalankan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan dibantu oleh pasukan Forensik termasuk anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang tinggal lokasi berhampiran yang ada kehilangan anak atau sebelum ini pernah mengebumikan anak mereka supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Polis akan melakukan siasatan daripada semua aspek bagi mengenal pasti identiti milik tapak kaki itu.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.