Tiga Jangkitan Baharu Koronavirus Di Malaysia, Tujuh Kesemuanya

44

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tiga lagi jangkitan terbaharu koronavirus terhadap warga China dilaporkan di negara ini menjadikan kesemua tujuh kes setakat malam tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, kes terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak berumur 4 tahun, seorang wanita yang juga menantu kepada pesakit positif koronavirus di Singapura dan seorang lelaki berumur 52 tahun.

“KKM ingin melaporkan mengenai pertambahan tiga kes positif baharu yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam 28 Januari 2020.

“Justeru, jumlah kumulatif kes positif yang dilaporkan pada tahun 2020 sehingga hari ini adalah sebanyak tujuh kes iaitu terdiri daripada tiga kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan dan empat kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat,” kata KKM.

Menurut KKM, dua kes baharu jangkitan adalah dalam kalangan kes PUI iaitu seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Katanya, dalam kalangan kontak rapat, menantu perempuan kepada kes pertama di Singapura iaitu lelaki yang berumur 66 tahun kini juga telah disahkan positif.

“Beliau yang terdahulunya berstatus negatif telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif,” kata kementerian itu.