Tiga Jam Perjalanan ke Pedalaman Ranau Berbaloi, Vaksin Habis Diberi Penduduk

RANAU: Membawa bekalan vaksin COVID-19 dengan menempuh jalan tanah merah berbatu dan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda serta dikelilingi persekitaran hutan tebal, bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Bagaimanapun, pasukan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Pejabat Kesihatan Ranau bersama Kelab Pacuan Empat Roda 4X4 Ranau nekad menempuh perjalanan mencabar sejauh lebih 40 kilometer yang mengambil masa lebih tiga jam bagi memastikan penduduk di pedalaman daerah ini tidak tercicir daripada divaksin.

Pegawai Kesihatan Daerah Ranau Dr Fionna Vincent Bizini berkata beliau bersama petugasnya bertolak seawal pukul 6 pagi bersama sembilan kenderaan pacuan empat roda, bagi menempuh perjalanan dari Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Ranau di sini menuju ke destinasi vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Kawiyan.

“Bawa vaksin ke kawasan ini bukan mudah kerana kita terpaksa melalui laluan berbatu, tanah merah yang agak jauh menjadi satu cabaran buat petugas kesihatan dalam memberi khidmat vaksinasi…agak mencabar perjalanannya, harapnya tiada hujan turun selepas ini jika tidak, jalan jadi lagi sukar.

“Walaupun kawasan ini jauh di pedalaman namun, ia tidak mematahkan semangat kita semua untuk mengadakan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 demi memastikan penduduk di kawasan ini juga menerima suntikan vaksin,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada program vaksinasi itu semalam di Sekolah Kebangsaan Kawiyan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam yang meninjau sendiri proses pemberian vaksin di sekolah tersebut.

Ranau terletak lebih kurang 108 kilometer timur dari Kota Kinabalu serta terkenal sebagai ‘rumah’ kepada Gunung Kinabalu, didiami lebih 100,000 penduduk yang majoritinya daripada etnik Dusun.

Dr Fionna berkata sebanyak 150 dos vaksin habis diberikan berikutan sambutan amat menggalakkan daripada penduduk dan program itu dijadual diteruskan di kawasan pedalaman Kaingaran dan Paginatan awal bulan depan.

“Saya difahamkan lokasi program juga agak jauh dan memerlukan bantuan kelab pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan berkenaan, walau apa pun cabaran yang mendatang kita akan tetap tempuh bagi memastikan rakyat dilindungi daripada COVID-19,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Paka, Ulu Sugut, Julina Gandalau, 50, berkata dia belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, namun bersyukur kerana kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) sanggup datang ke kawasan pedalaman untuk mengadakan program vaksinasi.

“Kalau kita mendaftar dan tunggu dipanggil memang lama. Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang datang ke sini untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi daripada COVID-19,” katanya selepas selesai menerima suntikan dos pertama.

Seorang lagi penduduk kampung itu Amirul Asanboh, 33, berkata dia hadir ke program itu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

“Kalau buat program di sini sangat bagus sebab orang pedalaman senang mahu datang, kalau mahu pergi pekan (Ranau) kena ikut orang dan perlu bayar tambang.

“Tidak semua penduduk kampung mempunyai kenderaan pacuan empat roda disebabkan jalan dari kampung ini ke Pekan Ranau agak jauh dan terpaksa melalui jalan yang teruk dan memakan masa berjam-jam  perjalanan,” katanya.