Tiga Jam Hujan Lebat, Tujuh Kampung Di Kota Belud Dilanda Banjir

Jambatan runtuh d Kampung Malangkap Tiung. – Gambar ihsan APM Kota Belud

KOTA KINABALU: Banjir kilat melanda tujuh kampung di Kota Belud susulan hujan lebat lebih tiga jam di Hulu Kadamaian sejak Rabu petang.

Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Kota Belud, Kampung Siasai, Kampung Menunggui, Kampung Linau dan Kampung Donggoi dinaiki air selepas hujan lebat sejak 2 petang.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataannya berkata tiada penduduk yang dipindahkan setakat ini.

“Jalan Tamu, Jalan Kampung Bobot dan Jalan Lingkodon turut dinaiki air menyebabkan ia tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan,” kata APMM.

Anggota APM juga ditugaskan memantau kawasan banjir kilat walaupun hujan reda kira-kira 6 petang tadi.