Tiga Bot Ditahan Cuba Seludup Petrol, Diesel Ke Negara Jiran

252
Petrol dan Diesel yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Cubaan menyeludup keluar minyak petrol dan diesel ke negara jiran berjaya dipatahkan apabila Pasukan Polis Marin berjaya menahan tiga bot dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi, di sini pada Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tiga bot itu ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan Kudat di perairan Batu Mandi, Sikuati dan Simpang Mengayau.

Ketiga-tiga bot itu didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekaan 1961 kerana membawa sebanyak 850 liter minyak diesel dan 180 petrol tanpa permit yangg dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Turut dirampas adalah wang Peso Filipina sebanyak 657,500 peso yang dipercayai untuk dibawa ke negara jiran, Filipina.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati enam kru ketiga-tiga bot berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka ditangkap dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Pasukan Polis Marin menangkap kesemua kru bot yang melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

Mohamad Pajeri berkata, dalam operasi sama, PPM berjaya menahan sebuah bot nelayan dari Kota Kinabalu yang menjalankan aktiviti di luar kawasan dan melanggar syarat lesen. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 8(2) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002.

Nilai rampasan bagi kesemua tangkapan bernilai RM251,175.57.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada KPDNHEP, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata, dalam operasi pada hari pertama (Rabu) yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan Kudat di Pasar Ikan Kudat ke atas bot yang baru sampai dari Pulau Banggi di Terminal Feri Kudat-Banggi tidak menemukan ikan yang diperolehi hasil daripada pengeboman ikan.

Katanya, PPM Sabah akan terus berusaha sama ada sendirian atau operasi bersama agensi lain bagi membanteras aktiviti jenayah maritim di perairan Sabah, khususnya di Kudat.