Tidak Tandatangan MoU Punca MP Labuan Didakwa – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa ahli Parlimennya didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran ketegasan parti itu tidak mahu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam satu temubual secara atas talian kelmarin mendakwa sekiranya Warisan tandatangan MoU tersebut, mungkin kes sebegini tidak akan berlaku.

Jika dilihat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan dan syarikat yang mendapat kontrak daripada lembaga itu merupakan syarikat dari Semenanjung Malaysia.

“Apabila keadaan sebegini berlaku, kita melihat pihak berkuasa bukan lagi instrumen yang mencegah, membimbing dan meletakkan negara sebagai sebuah negara yang dihormati dan disenangi,” katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak melihat MoU yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan itu berkesan.

Sebenarnya sebagai pembangkang mereka boleh sahaja duduk semeja jika ada perkara yang perlu dibangkitkan demi kepentingan rakyat. Perkara itu boleh dibawa ke Parlimen dan dibincangkan secara bipartisan.

Kelulusan masih boleh diperoleh namun, pada masa sama benarkan pembangkang bersikap kritikal bagi melakukan semak dan imbang.

“Saya tidak mahu terikat dengan keadaan sebegini yang akan menyebabkan peranan sebagai pembangkang itu berkurang,” ujarnya.

Hari ini, Rozman, yang juga Ketua Whip Warisan menyatakan beliau akan hadapi pertuduhan itu dengan tabah kerana sudah menjadi pegangannya dalam politik untuk menentang sebarang penyalahgunaan kuasa.

Beliau juga mendakwa pertuduhan SPRM ke atasnya itu merupakan cara untuk menekan beliau agar meninggalkan Warisan dan menyokong kerajaan dan Perdana Menteri hari ini.

Katanya, itu adalah cara yang ingin menjatuhkan imejnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).