Tidak Salah Shafie Minta Cuti Umum Kebangsaan Untuk Pesta Kaamatan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah berpendirian serta menegaskan bahawa tidak ada sebab mengapa kerajaan persekutuan di bawah pimpinan tidak menerima cadangan untuk mengangkat Pesta Kaamatan yang dirayakan pada 30 dan 31 Mei di Sabah untuk turut diiktiraf sebagai cuti kebangsaan.

Selama ini kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga sebenarnya telah mengiktiraf Pesta Kaamatan ini sebagai perayaan kebangsaan yang mana sejak sekian lama menganjur rumah terbuka Tadau Kaamatan yang mana biasanya dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Darell Leiking

Maka, ianya akan lebih sempurna jika Pesta Kaamatan ini selain diangkat sebagai perayaan kebangsaan tetapi juga diangkat sebagai cuti kebangsaan, kata Darell Leiking, timbalan presiden Parti Warisan.

Kenyataan Ahli Parlimen Penampang itu disokong oleh Jo-Anna Henly Rampas, naib ketua Wirawati, dan Ikon Belia Warisan, serta Francis Au, ketua penerangan Wira Sabah, merangkap ketua wira Kota Marudu.

Dalam kenyatan hari Khamis, ketiga-tiga pemimpin itu bersetuju bahawa cadangan daripada parti Warisan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin UMNO, lantas mempersoal keikhlasan presiden parti Warisan dalam mengutarakan cadangan ini.

Leiking menjelaskan bahawa cadangan ini telah dibincangkan bersama presiden parti, Shafie bin Haji Apdal sebelum ianya dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.

“Shafie telah bincang dengan saya berkenaan dengan cadangan ini dan telah menyokong penuh memandangkan Pesta Kaamatan tidak diiktiraf sebagai cuti umum Malaysia sejak penubuhan Persekutuan,” katanya lagi.

“Kita merayakan banyak perayaan melalui cuti umum di peringkat kebangsaan kerana kerajaan telah iktiraf perayaan tersebut. Saya ingat bagaimana 16hb September juga tidak dihormati dan tidak diiktirafkan di peringkat Persekutuan tetapi hanya di Sabah suatu ketika.

“Sebaliknya cadangan oleh ramai orang di Sabah ini telah dihina pula oleh beberapa orang di Malaya dan termasuk juga segelintir orang Sabah juga. Akhirnya selepas ‘Sabah’ telah menyelamatkan UMNO-BN selepas 2008 (Pilihan Raya Umum Ke-12), terus 16hb September diumum sebagai Cuti Umum Persekutuan Malaysia”, tambahnya.

Leiking berkata, selama tempoh 53 tahun orang asal Kadazandusun Murut merayakan Pesta Kaamatan ianya tidak dihormati walaupun sebenarnya masyarakat inilah juga yang telah menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Ini bukan politik wahai UMNO-BN, ini adalah soal menghormati dan mengikhtiraf perayaan Pesta Kaamatan sebagai satu perayaan nasional melalui cuti umum. Orang asal Kadazandusun Murut telah menyumbang banyak kepada Persekutuan Malaysia – Mengapakah perayaan orang asal ini tidak dihormati dan tidak diberi pengiktirafan?”

Upacara ‘Magavau’ dikaitkan dengan Pesta Kaamatan.

“Apa salah Shafie sebagai seorang yang berbangsa Bajau yang juga etnik orang asal Sabah apabila membuat cadangan yang baik ini? Sekurang-kurangnya seorang Bajau seperti Shafie telah dengan jelas menyatakan dia memahami sepenuhnya selepas diberi penjelasan”,

“Sebaliknya, anda perlu bertanya kepada pemimpin Kadazandusun Murut yang ada di dalam komponen UMNO-BN mengapa Pesta Kaamatan belum diiktiraf sebagai cuti umum kebangsaan, sedangkan kita menyedari hakikat bahawa Pesta Kaamatan ini adalah perayaan terpenting kaum Kadazandusun Murut sebagai Anak Negeri Sabah?”.

“Mengapa kita begitu selesa dengan orang lain yang tidak mahu mengiktiraf Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan kami? Mengapa kita harus berpuas hati dengan sambutan yang pada dasarnya adalah acara ala-nasional tetapi tidak pula diiktiraf sebagai cuti umum kebangsaan?”

“Sepatutnya cadangan ini datangnya dari UMBO-BN selaku kerajaan hari ini yang sepatutnya telah lama mengiktiraf dan sekaligus menjadikannya sebagai perayaan cuti umum kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia sama seperti perayaan kaum Cina, India dan Melayu”, jelasnya lagi.

Francis Au

Sementara itu, Francis menjelaskan perayaan Pesta Kaamatan ini kini bukan sahaja disambut di negeri ini tetapi turut diraya di beberapa tempat di semenanjung yang mana sudah termasuk dalam kalender perayaan rasmi kerajaan.

Jelasnya, sambutan Pesta Kaamatan turut diadakan di Lembah Klang dan Johor Bahru yang mana pemenang pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau dari cawangan berkenaan bertanding ke peringkat negeri yang diadakan di Hongkod Koisaan Penampang.

Menurutnya lagi, selain Lembah Klang dan Johor Bahru, cadangan sambutan perayaan di cawangan Pulau Pinang juga sudah disampaikan kepada Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan yang dipengerusikan oleh Huguan Siou (Joseph Pairin Kitingan).

Francis turut menjelaskan negeri Sabah telah menjana pendapatan tertinggi di negara ini melalui sektor pelancongan yang mana menjadi enjin ketiga penjana ekonomi di negeri ini.

“Kedatangan pelancong luar negara pada musim perayaan adalah sangat memberangsangkan setiap tahun dan ini adalah bukti bahawa Pesta Kaamatan adalah perataan kebudayaan yang sudah menempah nama di persada dunia”, jelas Francis juga terlibat secara langsung dalam perayaan Pesta Kaamatan sejak tahun 2000.

Untuk rekod, kehadiran masyarakat dari dalam dan luar negara yang hadir semasa perayaan penutupan Pesta Kaamatan selama dua hari yang diadakan di Hongkod Koisaan mencecah sehingga 100 ribu orang.

“Sekiranya perayaan ini dimanfaatkan sepenuhnya sudah tentu, ianya membawa pulangan pendapatan bukan sahaja di negeri Sabah tetapi negeri-negeri di Semenanjung juga turut menerima tempias ekonomi ini”, jelas Francis yang juga Ketua Penerangan Wira Warisan.

Jo-Anna Rampas

Dalam pada itu, pemenang pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2007, Jo-Anna Henly Rampas berkata, kaum Kadazandusun Murut khususnya para belia seharusnya berterima kasih dengan tindakan Shafie untuk menggesa Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 30 dan 31 Mei sebagai cuti umum.

Joanna yang juga Naib Ketua Wirawati menyifatkan kenyataan oleh Pergerakan Pemuda UMNO memperlihatkan bagaimana UMNO sedang memupuk pemikiran di kalangan generasi muda hari ini untuk bersikap rasis.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, kita seharusnya merayakan pesta ini bersama dan ini termasuklah perayaan seperti Gawai dan Regata Lepa,” katanya.

“Bagaimana kita boleh menjelaskan kepada diri kita bahawa, kitalah sebenarnya yang menjadi contoh keharmonian pelbagai kaum dan budaya seperti yang dicanang dalam konsep 1Malaysia tetapi dalam masa yang sama berfikiran rasis” ujar Ikon Belia Warisan itu.

Masyarakat Kadazandusun Murut menyedari bahawa tindakan Shafie ini sebenarnya telah mengangkat sekaligus memberi penghormatan kepada sumbangan masyarakat ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang mana Sabah dan Tanah Melayu (Semenanjung) adalah sebagai rakan kongsi.

Justeru, Pesta Kaamatan sebagai perayaan berasaskan kaum yang terbesar di negeri Sabah harus diambilkira selain diangkat sebagai perayaan nasional, tetapi juga harus diiktiraf sebagai cuti umum di peringkat nasional.

BERITA BERKAITAN: –
http://www.borneotoday.net/shafie-apdal-berikan-penghormatan-kepada-sambutan-tadau-kaamatan/
http://www.borneotoday.net/shafie-terdesak-guna-isu-cuti-kaamatan-untuk-agenda-politiknya/