Tidak Perlu Sekat Pembelajaran Dalam Bahasa Inggeris, Kata Shafie

4260
KETUA MENTERI SABAH: Bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi antarabangsa. Mana mungkin generasi muda boleh memperoleh pekerjaan di syarikat swasta tanpa ada kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak melihat sebarang sekatan perlu dikenakan dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek tertentu di sekolah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun menyedari Bahasa Melayu itu adalah Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam perlembagaan namun, tiada sekatan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran di negara ini.

“Saya tidak tahu itu jadi sekatan. Saya ingat masa dalam kabinet (Persekutuan), sekolah Cina juga ada menggunakan bahasa Cina, sekolah antarabangsa pula menggunakan bahasa Inggeris da nada sesetengah mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah.

“Tiada terkandung dalam perlembagaan. Jika dilihat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di peringkat Sabah penggunaan bahasa Inggeris masih digunakan, tiada had.

“Malah, dalam prosiding mahkamah dan persidangan dewan juga apabila berbahas tentang perkara tertentu, kita boleh menggunakan bahasa Inggeris dengan izin Speaker,” katanya ketika ditanya tentang larangan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tertentu di sekolah.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Forum Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) anjuran Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), di sini pada Isnin.

Menurutnya, jika pindaan undang-undang diperlukan untuk memastikan tiada sekatan dilakukan, beliau akan melihat kepada perkara itu.

Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, sekolah teknik dan vokasional (TVET) ditubuhkan supaya boleh meningkatkan kemahiran pembangunan modal insan dalam kalangan belia.

Shafie Apdal, kanan, dengan Madius Tangau.

Katanya, penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek tertentu juga perlu bagi memastikan pelajar mudah berkomunikasi dengan orang luar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sekiranya Kementerian Pendidikan menyatakan haram menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya membenarkan perkara itu berlaku.

Pada awal pembentukan Malaysia, Perkara Dua (2) dalam perlembagaan menyatakan Sabah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi, bahasa Inggeris hendaklah terus digunakan tanpa sebarang had.

“Bagaimanapun selepas 10 tahun pembentukan Malaysia (1973), pindaan dilakukan dalam perlembagaan dimana, Islam menjadi agama rasmi dan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi. Jika dengan kuasa yang ada, kita boleh ubah semula perkara itu.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi antarabangsa. Mana mungkin generasi muda boleh memperoleh pekerjaan di syarikat swasta tanpa ada kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Atas sebab itu, di peringkat negeri, kita perlu melihat perkara ini. Saya cadangkan sesetengah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa itu,” jelasnya.

BERITA BERKAITAN: –

UPKO Gesa Putrajaya Tegaskan Kedudukan Bahasa Inggeris Di Sabah