Tidak Perlu Panik Dua Gempa Lemah Di Ranau

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini terutama di Ranau dinasihatkan agar tidak panik atau cemas dengan dua kejadian gempa bumi yang berlaku di Ranau semalam.

Pakar Geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul berkata, gempa bumi lemah sebegini adalah kejadian biasa di rantau ini jadi orang ramai tidak perlu terlalu bimbang.

FELIX TONGKUL

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dua kejadian gempa bumi lemah yang berlaku berhampiran Ranau semalam dan pagi tadi.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian gempa bumi pertama berlaku kira-kira pukul 11.10 malam (18 April) dengan magnitud 2.8 skala Richter dan diikuti gempa susulan berukuran 2.7 skala Richter pada pukul 1.05 pagi tadi.

Gempa bumi pada kedalaman 10km dan 13km ini turut dirasai oleh penduduk sekitar Ranau.

Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata, aktiviti pendakian Gunung Kinabalu berjalan seperti biasa walaupun berlaku dua kejadian gempa bumi lemah semalam.

“Mengenai gempa semalam, tidak ada apa-apa impak kepada Gunung Kinabalu atau persekitaran. Pendakian ke puncak berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Setakat ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tidak menerima sebarang panggilan kecemasan susulan dua kejadian gempa bumi semalam.

Pada 5 Jun 2015, gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter berlaku di Ranau menyebabkan kematian 18 orang pendaki Gunung Kinabalu termasuk empat malim gunung.