Tidak Mahu Runding, Hantar Satu Batalion Ke Sabah – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: ‘Kalau tidak mahu runding tidak apa, hantar satu batalion ke Sabah seperti dijanjikan’.

Demikian kata Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengatakan beliau (Shafie) seolah-olah mengiktiraf tuntutan dibuat oleh Filipina.

Ketua Menteri Sementara ini berkata, penghantaran satu batalion tambahan itu sebagai langkah mempertingkatkan sistem keselamatan di Sabah.

Katanya, sekiranya kerajaan persekutuan tidak mahu berunding dengan kerajaan Filipina bagi menghentikan tuntutan Filipina terhadap Sabah, tidak apa.

“Jangan runding tapi pertingkatkan pertahanan dan sistem keselamatan di Sabah. Jangan janji ada batalion, ada bot tapi tiada diesel.

“Orang kita asyik kena lanun (culik), pertingkatkan keselamatan bagi membantu kita menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Jangan hanya pandai cakap.

“Minta (Filipina) supaya wujudkan konsul jeneral mereka di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat Kota Marudu, Di Dewan SDA Goshen, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan bukan milik mana-mana negara lain.

Maka, Kerajaan Pusat perlu pertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia.

“Mana mungkin setiap tahun kita kena lanun, mana mungkin orang kita asyik kena culik, kena bunuh.

“Insiden Tanduo satu contoh bagaimana kita pertahankan keselamatan negara. Mereka boleh cakap dan janji mahu hantar satu batalion.

“Tidak apa kalau tidak perlu ada rundingan..tidak perlu runding.

“Tapi kita kena tegas tapi jangan tegas, kita tidak boleh pertahankan nyawa rakyat kita. Mereka boleh cakap tapi rakyat saya (Sabah) yang hilang (nyawa),” jelasnya.

Pada 28 Ogos lalu, Shafie meminta kerajaan persekutuan berunding dengan Filipina bagi menghentikan isu tuntutan mereka terhadap Sabah.

Katanya, Filipina perlu diberi kefahaman jelas agar tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).