Tidak Diberi Mandat, BN Mula Tawar Diri Untuk PRU

PAPAR: Kehadiran pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di Sabah sempena Konvensyen BN Sabah dilihat sebagai langkah awal bagi menawarkan diri mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau yakin rakyat di negeri ini sedar bahawa BN-UMNO tidak mempunyai mandat untuk memerintah negara pada masa ini.

Ketika ini, negara berada dalam keadaan tidak sihat dengan belanjawan defisit hingga negara berhutang kerana pengurusan kewangan dan pentadbiran yang tidak cekap.

Beliau berkata, seharusnya kerajaan harus mengambil langkah mengatasi ketirisan dan kurangkan projek yang tiada keutamaan.

“Bukan saya kata tidak boleh beri subsidi tapi beri secara bersasar kepada yang memerlukan dan berkepentingan sahaja.

“Isu harga ayam dan minyak masak juga perlu diatasi dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas Progran Santai Mesra bersama Warisan Kimanis kelmarin.

Menurutnya, sekiranya kerajaan mempunyai pengurusan dan pentadbiran kepimpinan yang baik, masalah kenaikan harga barangan akan dapat diatasi.

Jelasnya, ada pemimpin yang menyatakan BN itu parti Sabah namun, semua orang tahu hakikat sebenarnya bahawa ia parti dari Semenanjung.

Sempena Konvensyen BN Sabah kelmarin, barisan pimpinan tertinggi BN turun ke Sabah bagi menghadiri konvensyen selama sehari itu, termasuklah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.