Tidak Dibenarkan Balik Kampung & Ziarah Kuburan Semasa Aidilfitri – SKN Sabah

SAFAR UNTONG

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak membenarkan rakyat di negeri ini pulang ke kampung halaman serta menziarahi kubur semasa Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyatan semalam berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Arahan Covid-19 Sabah memutuskan kedua-dua perkara itu antara lapan aktiviti yang tidak dibenarkan di Sabah semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Oleh itu, rakyat di negeri ini dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perayaan kebudayaan etnik.

Beliau juga mengingatkan bahawa sepanjang tempoh perayaan, sambutan hanyalah dibenarkan dalam kalangan keluarga yang tinggal serumah sahaja dan hendaklah tidak melebihi 20 orang bergantung kepada keluasan rumah.

Aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa perayaan adalah seperti berikut:

1/Kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai;

2/Balik kampung;

3/Rumah terbuka;

4/Berjemaah di masjid/rumah ibadat;

5/Kenduri-kendara;

6/Ziarah kubur/tahlil;

7/Marhaban dari rumah ke rumah;

8/Berpesta

Safar berkata, kerajaan negeri berharap dengan pematuhan SOP tersebut ia dapat membantu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Orang ramai adalah dimohon untuk memastikan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri sentiasa diutamakan dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.