Tiba Masa Reform Kepimpinan Negara – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Situasi politik pada masa ini memerlukan reform dalam struktur kepimpinan negara bagi memastikan perubahan dalam politik dapat dilakukan.

Itu pandangan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengenai situasi politik semasa.

Beliau berkata, jika ingin melihat perubahan dalam politik negara, satu landasan baharu perlu diwujudkan agar semua bangsa boleh bergerak maju kehadapan

Katanya, hanya rakyat yang boleh menukar seorang pemimpin kerana kuasa mengundi terletak sepenuhnya ditangan rakyat.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Barisan Nasional (BN) sudah menabur janji selama lebih 60 tahun tetapi sehingga kini Sabah masih berhadapa dengan masalah jalan berlumpur dan berlubang.

“Buat slogan kata tetapi keadaan tetap sama saja, jambatan rosak bukan tidak boleh dibuat dalam masa terdekat, peruntukan bukannya mahal sangat,” katanya semasa berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sepanggar hari ini.

Menurutnya, jangan hanya hidangkan slogan kepada rakyat tetapi kebaikannya tidak dinikmati masyarakat secara menyeluruh.

“Dalam kita menikmati keselesaan dari segi makanan serta kehidupan semua perlu ingat bahawa ramai dalam kalangan rakyat khususnya Sabah menderita akibat harga barangan mahal, pengangguran, bencana banjir dan sebagainya.

“Walaupun Sabah kaya dengan sumber minyak tetapi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan telekomunikasi masih mundur.

“Oleh itu, jangan hanya wujudkan slogan untuk didendangkan tetapi rakyatnya menderita setiap hari,” ujarnya.

Tambahnya, semasa banjir berlaku di Tenom, Beaufort hingga mengakibatkan jalan terputus akibat hujan, semasa Warisan memerintah dahulu, semasa laluan di Jalan Ranau terputus, beliau meluluskan peruntukan RM30 juta untuk perbaiki jalan itu dan ia siap dalam tempoh dua bulan.

Mohd Shafie berkata, kini rakyat berhadapan dengan harga barangan yang mahal, jangan sampai harga makanan seperti daging ayam dikawal oleh orang tengah sehingga menyebabkan harga melambung tinggi.