Tiba Masa PH Percepatkan Pembangunan Beluran

1094
Ronald Kiandee

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata ini masanya melihat Pakatan Harapan (PH) membawa masuk dan mempercepatkan pembangunan di kawasannya.

Katanya, sebagai wakil rakyat kerajaan sekarang, beliau mempunyai kapasiti untuk berkhidmat dengan lebih baik di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya mahu supaya ada kemampuan membantu kawasan Parlimen saya. Politik adalah tentang pembangunan, apa guna menjadi parti yang lantang di sana sini tetapi tidak dapat membantu rakyat.

“Beluran adalah salah satu Parlimen di Sabah yang merekodkan angka kemiskinan berganda. Perkara ini ditimbulkan dalam semakan Rancangan Malaysia Ke-11 di Parlimen baru-baru ini.

“Saya harap kerajaan akan mempercepatkan proses pembangunan Beluran. Kawasan saya memerlukan pembangunan berterusan daripada kerajaan, saya mahu melihat perkara ini,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times hari ini.

Ronald telah meninggalkan UMNO sejak Disember lalu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Semalam, beliau adalah antara empat Ahli Parlimen Sabah yang secara rasmi menerima kad keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut menerima kad keahlian masing-masing ialah Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri; Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah iaitu Datuk Hajiji Noor (Sulaman) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan) selain Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin serta Datuk John Ambrose turut menerimanya.

Mengulas tentang keputusannya memilih Bersatu, kata Ronald, beliau telah menjadi wakil rakyat sejak 1999 dan tahu perbezaan menjadi pemimpin kerajaan serta pembangkang.

“Saya percaya Bersatu mampu membantu saya menjadi wakil rakyat lebih baik. Kawasan saya juga menyokong keputusan ini.

“Malah sejak hari pertama kami kalah kerajaan, beberapa pihak telah menasihatkan saya untuk menukat parti,” katanya.

Ditanya tentang kepimpinan Bersatu dan perancangan masa depannya di Sabah, Ronald berkata soalan itu biarlah diajukan kepada Dr. Mahathir sempena pelancarannya di Kota Kinabalu 6 April depan.