Tiada Tiket Percuma Sabah Lawan Kelantan Sabtu Ini

188

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menafikan memberi tiket percuma bagi perlawanan Liga Perdana antara Sabah menentang Kelantan di Stadium Likas malam esok.

Setiausaha Agung Safa, Andrew Majanggim berkata, mesej yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp kononnya tiket diedarkan percuma untuk perlawanan itu adalah palsu.

“Itu adalah kenyataan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sepak mula perlawanan adalah pukul 9.00 malam dan bukannya 8.15 malam seperti yang dinyatakan dan kenyataan palsu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, satu mesej yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook menjemput orang ramai hadir ke stadium malam esok bagi menyaksikan perlawanan percuma itu.

Andrew berkata, tiket perlawanan sebaliknya akan dijual seperti biasa di kaunter stadium bermula pukul 8 pagi esok.

Katanya, perlawanan dijadual bermula pada pukul 9 malam bagi memberi ruang upacara penyerahan piala selepas Sabah dinobatkan juara Liga Perdana musim ini yang turut mengakhiri kemarau kejuaraan selama 23 tahun pasukan bola sepak itu.

“Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan Pemangku Presiden Safa, Datuk Peter Anthony juga akan hadir menyaksikan perlawanan dan majlis penyerahan piala.

“Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan dijual dengan harga seperti biasa iaitu RM25 bagi tempat duduk di kawasan berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk kawasan terbuka,” katanya.