Tiada Tabligh Dari Indonesia Bolos Masuk Melalui Jalan Tikus

Mohamad Pajeri bersamaTimbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Sabah Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) mengesahkan tiada bot yang membawa kumpulan tabligh tempatan yang pulang dari Indonesia memasuki perairan negara ini melalui jalan tikus.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, setakat ini belum ada sebarang laporan diterima yang melaporkan berlaku pembolosan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berkuatkuasa, hanya dua pergerakan kemasukan kumpulan tabligh tempatan yang pulang dari Indonesia dilaporkan.

“Selebihnya masih berada di Indonesia. Oleh itu, kami bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah akan memastikan mereka ini tidak melalui jalan tikus.

“Saya adifahamkan setakat ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah telah memberi komitmen kepada kita. Sekiranya mereka hendak masuk semula ke Sabah, mereka akan berhubung dengan MKN dan kita akan mengiring mereka masuk seperti yang dijadualkan,” katanya ketika mengulas mengenai kemasukan tabligh warga tempatan yang kini masih berada di Indonesia.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Kerjasama Operasi Op Covid-19 antara PPM dan Maritim Malaysia cawangan Sabah, di sini hari ini.

Menurutnya, sebarang makluman mengenai kemasukan kumpulan tabligh ini akan dimaklumkan melalui MKN Sabah yang akan menyalurkan maklumat berkenaan kepada pasukan keselamatan bagi mengiringi kumpulan berkenaan masuk ke Sabah.

“Setakat ini tiada yang melalui jalan tikus. Belum ada sebarang makluman mengenainya dan keadaan di perairan memang terkawal,” ujarnya.

Pajeri berkata, dalam operasi Op Covid itu PPM bersama Maritim Malaysia bukan sahaja mengekang pergerakan penduduk dari pulau tetapi juga mengawal kemasukan dari perairan luar Sabah.

Setakat ini, dua kumpulan tabligh warga tempatan yang menghadiri Himpunan Ijtimak Asia 2020 di Sulawesi telah tiba di Sabah melalui perairan Tawau.

Kumpulan pertama seramai 12 orang tiba di Tawau pada 22 Mac dan kumpulan kedua melibatkan enam tabligh tiba pada 29 Mac. Kesemua mereka terus dikuarantin di pusat kuarantin sebaik sahaja tiba di Sabah.