Tiada Sambutan Ulang Tahun Penubuhan, Sarawak Energy Serah Dana Kepada Tabung Bencana

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) memutuskan untuk tidak menganjurkan sambutan ulang tahunnya tahun ini, sebaliknya ia membuat ketetapan untuk menyumbangkan bajet RM1 juta bagi acara itu kepada Tabung Bencana Sarawak.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Siti Aisah Adenan menyerahkan sumbangan itu bersama dengan tambahan RM100,000 kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas upacara penyerahan sumbangan, antara yang menyaksikan acara itu ialah Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili dan Naib Presiden Kanan bagi Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Marconi Madai.

Sejumlah RM43,238.53 daripada RM100,000 tambahan itu dikumpul menerusi kutipan dalam kalangan kakitangan Sarawak Energy melalui kempen sumbangan pekerja secara sukarela, dan selebihnya adalah sumbangan syarikat.

“Ini adalah sumbangan tulus dari kakitangan kami dan juga syarikat kami. Semua orang terpaksa menempuh tempoh yang mencabar ketika ini, dan sekarang bukan masa untuk meraikan apa-apa sambutan. Dana ini akan digunakan dengan lebih baik bagi membantu meringankan penderitaan mereka yang sangat memerlukan,” kata Sharbini dalam kenyataan itu.

Sharbini berkata semasa wabak COVID-19 terus membawa pelbagai kesukaran, syarikat itu memutuskan untuk tidak mengadakan perayaan ulang tahunnya sebagai menghormati semua yang terjejas kehidupan akibat pandemik.

Dana RM1 juta itu mulanya dirancang untuk meraikan sambutan berkenaan di pusat-pusat utamanya di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Bagi menyokong inisiatif yang sedang dijalankan untuk membantu rakyat seperti diskaun bayaran utiliti, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Bencana Sarawak bertujuan meringankan penderitaan mereka yang paling teruk terjejas kehidupan akibat pandemik COVID-19.