Tiada Pusat Mengundi Terjejas Banjir Di Sabah

KOTA KINABALU: Pemantauan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dinaiki air di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, proses pengundian juga berjalan lancar walaupun keadaan cuaca mendung dan hujan di beberapa daerah.

Beliau berkata, sebanyak 874 buah pusat mengundi dibuka di seluruh Sabah bermula pada pukul 7.30 pagi sehingga 5.30 petang.

“Penggunaan helikopter juga telah digunakan bagi membawa peti undi ke 87 kawasan yang terpencil dan juga tidak dapat dihubungi dengan kenderaan lain.

“Kesemua peti undi telahpun selamat sampai di semua pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Idris, seramai 8,361 pegawai dan anggota polis bertugas semasa proses mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pada hari terakhir berkempen semalam, sebanyak 401 permit kempen pilihan raya telah diluluskan di seluruh Sabah.

Berdasarkan pemeriksaan, semua kempen yang dijalankan mempunyai permit dan tidak melanggar syarat kempen yang ditetapkan.

Dalam pada itu, lima laporan polis dalam tempoh 24 jam manakala, sepanjang tempoh 26 Oktober hingga 18 November, sebanyak 112 laporan polis telah diterima dan 28 kertas siasatan dibuka.

Idris berkata, PDRM menyeru agar semua pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam PRU-15 agar mematuhi undang-undang dan arahan pihak PDRM bagi memastikan proses pilihan raya dilaksanakan dengan teratur dan lancar.