Tiada PKPD Di Taman Harmoni, Hanya Langkah Keselamatan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perkara itu diumumkan Presiden Majlis Perbandaran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Sandakan, Wong Foo Tin yang memaklumkan hanya pergerakan penduduk yang dikawal lebih rapi susulan lima kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu dan beberapa penghuni sudah dihantar ke pusat kuarantin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komioner Mohd Azhar Hamin turut mengesahkan kenyataan Foo Tin dan berkata, kawalan di kawasan itu diperketatkan sebagai langkah untuk memudahkan Jabatan Kesihatan membuat saringan terhadap penghuni PPR itu.

Katanya, kawalan membabitkan lebih 15 anggota pada satu masa untuk memastikan tiada pergerakan keluar dan masuk penduduk dari taman itu dengan kawalan diadakan selama 24 jam.

“Ini akan dilakukan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua. Peraturan ini adalah penghuni tidak boleh keluar dari tempat tinggal masing-masing.

“Kita harap masyarakat tidak panik, cuma bertenang dan ‘stay at home’,” katanya ketika melawat kawasan PPR Taman Harmoni, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azhar berkata polis menahan dua lelaki yang dipercayai mabuk melanggar sekatan jalan raya di Batu 16, di sini, dan akan didakwa ke mahkamah dalam waktu terdekat.

“Mereka dari arah bandar dan sampai di sekatan, mereka ditahan dan selepas tunjuk lesen (memandu), terus memandu ke arah Batu 16.

“Entah macam mana, mereka patah balik (ke arah bandar Sandakan) dan kemudian ditangkap ketika menghala ke bandar,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Tiada PKPD Di Taman Harmoni, Hanya Langkah Keselamatan