Tiada Peralihan Kuasa Parti Warisan Di Labuan; Masih Berstatus Penaja

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah menafikan bahawa terdapatnya peralihan kuasa parti itu dikawasan Labuan.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr menegaskan bahawa Parti Warisan Sabah di Labuan masih dalam proses penubuhan dan pimpinan diperingkat Labuan masih lagi berstatus penaja dan mereka ini terdiri daripada pejuang-pejuang asal Warisan di Labuan.

LORETTO PADUA

Soal mendapat 50% sokongan daripada pemimpin Warisan Labuan tidak timbul sama sekali kerana sebagai Penaja, Ketua Penyelaras Labuan adalah dilantik terus oleh Ibupejabat Warisan.

Kita mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak tetapi segala prosedur yang ditetapkan mestilah dipatuhi.

Saya secara peribadi selalu menghubungi Setiausaha Penyelaras Labuan berkenaan dengan apa yang perlu dilakukan dan apa yang belum boleh dilakukan oleh Warisan di Labuan memandangkan ia masih berstatus penaja.

Kita boleh lantik siapa sahaja yang boleh bekerja dan diterima oleh rakyat. Sebagai Penaja, tidak perlu ada pemilihan kerana prosesnya dilantik terus oleh Pusat. Oleh yang demikian, tidak ada sebarang pertukaran kepimpinan di Labuan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa, lebih separuh daripada anggota pengasas Parti Warisan di pulau bebas cukai ini berikrar akan menyokong Suhaili untuk memimpin parti itu di sini.

Anggota pengasas, John Kulas dipetik berkata persetujuan menyokong Suhaili, yang juga bekas pengerusi Perbadanan Labuan memimpin parti itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang beliau dalam mentadbir hal berkaitan kewangan dan ekonomi pulau ini.

“Kami percaya beliau mampu menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di pulau ini dan menyuarakan keperluan rakyat kepada kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan,” Bernama melaporkan.