Tiada Pengiktirafan Anak Negeri Kepada Orang Bugis dan Jawa

12129

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar menafikan laporan bahawa kerajaan negeri akan mengiktiraf suku kaum Bugis dan Jawa di negeri ini sebagai Anak Negeri.

Aidi berkata, apa yang dimaksudkan beliau adalah kerajaan negeri telah menggantung pelantikan individu daripada suku kaum Bugis dan Jawa sebagai Ketua Anak Negeri kerana mereka tidak tergolong dalam kategori Anak Negeri.

“Saya tidak pernah kata kerajaan akan mengiktiraf kedua-dua etnik ini (sebagai Anak Negeri), itu bergantung kepada kerajaan negeri untuk dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kontroversi tentang perkara itu timbul selepas Aidi dilaporkan bercakap kepada umum bahawa kerajaan negeri akan meneliti semula tafsiran dalam Ordinan Interpretasi Anak Negeri untuk memberikan pengiktirafan kepada masyarakat kedua-dua kaum berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam majlis pelantikan ketua adat di Tawau, semalam.

Mengulas lanjut perkara itu, Aidi berkata, ketika ini wujud pertikaian di Mahkamah Anak Negeri tentang taraf kedua-dua kaum berkenaan menyebabkan kerajaan tidak melantik mereka sebagai Ketua Anak Negeri.

Jelas beliau, ini berikutan ada permohonan daripada komuniti tertentu kaum itu yang mahu wakil mereka dilantik, namun kerajaan tidak boleh melakukannya kerana status mereka.

Katanya, Mahkamah Anak Negeri masih boleh meluluskan status kedua-dua kaum itu sebagai Anak Negeri di bawah Seksyen 2D Ordinan Interpretasi Anak Negeri dengan memasukkan syarat-syarat tertentu.

“Saya memberitahu mereka supaya tunggu sehingga semua isu yang timbul diselesaikan oleh mahkamah sebelum pelantikan Ketua Anak Negeri daripada Bugis dan Jawa turut diselesaikan,” kata beliau.