Tiada pembatalan tempahan berlaku di Semporna, susulan insiden penculikan

253
Jeti Umum di Semporna masih dibanjiri pelancong ketika tinjauan pada pagi Rabu.

SEMPORNA: Tiada pembatalan tempahan pakej pelancongan dan penginapan berlaku di Semporna susulan insiden penculikan 10 anak kapal nelayan berhampiran perairan Tambisan, Lahad Datu pada Selasa.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Semporna Kerino Jalani berkata, beliau tidak melihat insiden penculikan terbaru itu menjejaskan kehadiran pelancong di Pantai Timur Sabah terutama di Semporna.

Beliau berkata, kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam keadaan baik maka, tiada yang harus dibimbangkan.

“Ada rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia bertanya jika keselamatan mereka terjamin jika ingin berkunjung ke Sabah ketika ini, saya maklumkan kepada mereka keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah masih terkawal.

KERINO JALANI

“Malah, tempahan yang diterima oleh pengusaha-pengusaha pelancongan bumiputera di Semporna untuk tempoh empat bulan akan datang (Julai-Oktober) semuanya penuh.

“Tiada sebarang pembatalan tempahan diterima. Ia menunjukkan keyakinan pelancong luar terhadap keupayaan pasukan keselamatan kita termasuk Esscom dalam menjaga keselamatan pelancong asing serta rakyat tempatan, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Kerino juga menasihatkan pelancong luar agar membuat tempahan dan mengikuti aktiviti yang ditawarkan oleh pengusaha pelancongan berlesen yang berdaftar dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Dalam masa yang sama, pasukan penguatkuasaan juga perlu memantau kehadiran bot penambang swasta tidak berlesen yang cuba menarik perhatian pelancong agar menaiki bot mereka.

Bot penambang sebegini tidak memberi keutamaan kepada aspek keselamatan jadi, ia dikhuatiri mendatangkan risiko kepada pelancong luar.

Pada Selasa, seramai 10 anak kapal nelayan dipercayai diculik kumpulan bersenjata yang dipercayai Kumpulan Abu Sayyaf berhampiran Tambisan, Lahad Datu.

Kumpulan bersenjata itu dipercayai menaiki dua bot laju ketika menghampiri dua kapal nelayan sebelum bertindak menculik 10 anak kapal dari dua kapal nelayan berkenaan.

Bot dinaiki kumpulan penculik itu dipercayai menuju ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina yang terletak 15 minit menaiki bot dari Tambisan, Lahad Datu.