Tiada Orang Awam Dibenar Hadiri Sidang DUN Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan diteruskan seperti dijadualkan bagi memenuhi keperluan perlembagaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam tempoh masa ditetapkan, sidang dewan boleh dibubarkan secara automatik.

Beliau berkata, sidang DUN bermula pada 16 April ini perlu diadakan bagi membolehkan kerajaan negeri meluluskan rang undang-undang perbelanjaan negeri.

Katanya, rang undang-undang itu perlu diluluskan bagi peruntukan kewangan tahun ini.

“Kita kena jelaskan peruntukan ini supaya tiada kekeliruan dan pemalsuan fakta.

“Kerajaan hari ini cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan bukan hanya penjimatan dilakukan tapi, kewangan yang ada juga digunakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya ketika mengulas mengenai persidangan DUN Sabah.

Mohd Shafie berkata, masa bersidang akan dipendekkan bagi meminimakan masa selaras dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan akan memperincikan bagaimana sidang dewan ini mematuhi peraturan PKP dan jarak selamat satu meter. Kalau mahu longgarkan (tangguhkan), tidak lama lagi bulan Ramadan dan selepas itu, Hari Raya Aidilfitri. Jadi, keperluan untuk bersidang dalam tempoh masa diberikan akan berakhir.

“Atas sebab itu, kita maklumkan tiada orang awam dibenarkan datang. Hanya wakil rakyat sahaja yang perlu hadir. Malah, perasmian sidang DUN juga tiada acara perbarisan.

“Yang DiPertua Negeri akan datang untuk berucap merasmikan sidang dewan dan selepas itu barulah sesi pembentangan dan perbahasan akan dilakukan,” jelasnya.

Mohd Shafie berkata, sidang dewan di negeri-negeri lain seperti Kedah dan Pulau Pinang juga akan berjalan. Begitu juga dengan persidangan Dewan Rakyat (Parlimen).