Tiada Larangan Peniaga Beroperasi, Pihak PBT Sudah Dimaklumkan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Tiada larangan diberi kepada peniaga dan pengusaha industri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beroperasi.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudah dimaklumkan mengenai kebenaran pembukaan sektor ekonomi, industri dan perniagaan sepanjang tempoh PKPB.

“Pihak pemain industri memaklumkan bahawa terdapat pihak penguat kuasa tidak mengetahui bahawa kerajaan negeri telah membenarkan semua kegiatan berkaitan sektor beroperasi.

“Sebenarnya PBT yang berkenaan telah pun dimaklumkan tentang perkembangan terbaharu ini,”katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kerajaan negeri memaklumkan hanya aktiviti seperti kelab hiburan, panggung wayang, perjudian, pasar malam, pasar tani, tamu, rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka dan premis menyediakan perkhidmatan manicure dan pedicure tidak dibenarkan sepanjang PKPB di negeri ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian negeri ini berkata, kebenaran untuk beroperasi merangkumi semua sektor seperti perkilangan, pembinaan, pertanian, perikanan, perladangan, pembangunan hartanah, logistik, peruncitan dan perkhidmatan.

“Kerajaan sudah mengumumkan bahawa semua kegiatan berkaitan sektor ekonomi, industri dan perniagaan adalah dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPB dengan mematuhi prosedur operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagaimanapun, lokaliti yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah terkecuali daripada SOP ini,” katanya.