Tiada Lagi Mangsa Culik

Abdul Halim (tengah) ketika melakukan lawatan kerja di pejabat ESSCOM, Lahad Datu.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Semua mangsa culik penjenayah rentas sempadan berjaya diselamatkan selepas mangsa terakhir warga Indonesia dilaporkan bebas dalam operasi khas Joint Task Force Sulu, di selatan Filipina, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Halim, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan pembebasan Muhamad Farhan Mahruddin, 27, di Baragay Bato Bato, Indanan, Sulu.

“Sebelum itu, mangsa yang juga warga Indonesia diculik oleh penjenayah rentas sempadan di perairan Tambisan, Lahad Datu pada 23 September, tahun lalu.

“Mangsa kini sedang dirawat di Navarro Camp General Hospital, Sulu dan dijangka akan diserahkan kepada Indonesia sebaik sahaja selesai menjalani rawatan,” katanya.

Menurut Abdul Halim, dua rakan mangsa yang turut menjadi mangsa penculikan, Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, diselamatkan dalam operasi ketenteraan pada 22 Disember lalu.