Tiada Kompromi Pegawai Kerajaan Jadi Dalang Seludup PATI – Pesuruhjaya Polis

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Polis Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai kerajaan termasuk anggotanya yang menjadi dalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, tiada kompromi terhadap pegawai kerajaan jika dikesan menjadi dalang tekong kemasukan PATI menerusi jalan-jalan tikus.

“Setakat ini, semua tangkapan membabitkan aktiviti penyeludupan PATI tidak membabitkan pegawai kerajaan khususnya pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kami meneruskan pemantauan berkaitan dan jika dikesan ada pegawai kerajaan terlibat, tindakan tegas akan diambil berlandaskan peruntukan perundangan,” katanya kepada media ketika lawatan kerja, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor dan Panglima 13 Bridged Jeneral Abdul Razak Hussain.

Berhubung lawatan kerja selama dua hari sehingga esok termasuk di Tanduo dan Tungku, Zaini berkata, ia berkaitan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan memfokuskan Ops Benteng Covid.

“Ini adalah lawatan kerja sulung saya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah di Lahad Datu.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan penguatkuasaan yang dilakukan termasuk membabitkan sekatan kemasukan PATI,” katanya.

Tambah Zaini, selain itu, pihaknya turut mempertimbangkan pembinaan sebuah balai polis baharu di Tungku selepas melihat keperluan dan perkembangan lokasi itu pada masa akan datang.

“Difahamkan ada daerah baharu (Tungku) akan diwujudkan di sini.

“Justeru, pembinaan balai polis baharu itu dilihat dapat menyampaikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, pihaknya bertanggungjawab melaksanakan tiga operasi iaitu Ops Pesisir Pantai, Penawar dan Benteng Covid merangkumi kawasan dadi Kudat ke Tawau.

“Pemantauan dan rondaan berkala dilakukan menerusi tiga operasi ini dalam usaha memastikan penceroboh gagal membolosi sempadan negara.

“Setakat ini, semua operasi berjalan lancar dan terkawal,” katanya.